Menyerlahkan gaya pemakaian maskulin si lelaki versatile untuk musim ini, Salvatore Ferrangamo menggabungkan fesyen mewah yang berlatarkan elemen moden sambil diselitkan dengan ciri klasik.
Khas untuk individu yang gemar menggembara, kolkesi ini nyata menonjol, menampilkan helaian yang lazimnya dipakai menggunakan teknik melapis (layering) terdiri daripada jaket, kot, kemeja bercetak, seluar panjang santai yang boleh digayakan kala berlibur mahupun untuk ke acara-acara formal yang bertema eksentrik.
Tidak ketinggalan aksesori seperti beg sandang, kasut kulit dan tali pinggang turut menjadi pelengkap untuk pemakaian yang lebih sempurna.
Salvatore Ferrangamo berjaya membawa arena fesyen maskulin ke satu tahap yang menakjubkan di mana, ketukangan yang digunakan untuk menghasilkan setiap helaian di dalam koleksi musim Bunga/Panas 2017 ini adalah berasaskan fabrikasi eksklusif termasuklah sutera, khaki, kulit asli, kapas mudah serap serta baldu.
Bukan itu sahaja, teknik ketukangan yang bermutu juga dapat dilihat dari segi perincian yang diterapkan, mengutamakan palet warna terang serta tanah untuk mengbangkitkan aura pengembaraan yang indah dan ceria.
Cuba mengetengahkan nuansa moden yang berjiwa kelelakian, setiap helaian adalah tahan lasak, ditemani fungsi-fungsi keselesaan yang optimum -ringan, menawarkan pengaliran udara yang terbaik meskipun material dan fabrikasi yang digunakan adalah berciri tebal dan eksklusif.
Untuk keterangan lanjut, sila layari www.ferragamo.com