Dalam pada sebuah berita mengenai lelaki Britain yang mengaku membuat perbuatan keji merogol ramai kanak-kanak Malaysia, seorang aktivis yang dikenali ramai, Syed Azmi Alhabshi tampil mendedahkan kewujudan kumpulan paedophile yang rata-ratanya disertai lelaki tempatan.
Syed Azmi semalam bertindak memuat naik beberapa halaman yang dirakam dari Telegram, mengandungi gambar seorang kanak-kanak perempuan berserta perbincangan lucah sesama ahli kumpulan tersebut.
“Sesetengah individu galak menghubungi saya serta ada juga yang meninggalkan mesej pesanan ringkas untuk mengadili saya kerana menjadi terlalu terbuka dan serius mengenai kumpulan tersebut, walhal ianya memang perkara yang harus diambil tindakan! Lihat sahaja kata-kata mereka yang tidak senonoh merujuk kepada gambar kanak-kank tersebut!”, jelasnya kepada Malay Mail Online sewaktu dihubungi semalam.
Kata Syed Azmi lagi, “Saya nak orang buka mata dan faham bahayanya untuk berkongsi gambar anak-anak mereka terutamanya di laman sosial. Sampaikan keluarga saya sendiri juga menentang perbuatan saya, namun itu adalah sesuatu yang wajar untuk didedahkan”.
Dia juga diberitahu telah banyak kumpulan perbincangan seumpamanya wujud di sekitar Malaysia.
Difahamkan, Syed Azmi akui dia mempunyai semua nama dan nombor ahli dalam kumpulan tersebut dan apa yang mengejutkannya adalah berdasarkan tahun kelahiran mereka, dia mengesyaki sebahagian daripada mereka masih muda.
Terdahulu, seorang pedofil British berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku terbabit dalam satu siri serangan seks ke atas kanak-kanak di Malaysia.
Richard Huckle, 30, mengambil gambar dan video dia mendera kanak-kanak terbabit sebelum memuat naik ke sebuah laman web yang sukar diakses dalam Internet dan kerap digunakan untuk kegiatan haram.
Penyiasat menemui lebih 20,000 imej lucah dalam komputernya, selain catatan mengenai serangan yang dilakukannya serta sebuah buku panduan yang ditulisnya bertajuk “Pedofil dan Kemiskinan: Panduan Pengemar Kanak-kanak”.