Menariknya Karnival Laksa Antarabangsa Langkawi 2016 (LILAC 2016) adalah pengunjung yang hadir berpeluang untuk menikmati hidangan laksa serta mee yang dibawa masuk dari luar negara seperti China, Korea, Filipina, Thailand dan Indonesia.
Karnival istimewa ini berlangsung dari 27 hingga 29 Mei di Laman Padi, Pulau Langkawi. Ia turut dijangka menjadi tumpuan pengunjung yang mahu menikmati laksa dari luar negara.
Penambahan laksa dan mee dari luar negara di LILAC 2016 juga baru pertama kali diperkenalkan.
Bagaimana pun, karnival LILAC 2016 yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) ini masih meneruskan tradisinya dengan mengumpulkan semua jenis laksa dari seluruh negeri.
Selain itu, karnival LILAC pada tahun ini bakal dimeriahkan dengan kehadiran empat orang chef selebriti terkemuka tanah air iaitu Chef Joe, Datuk Dr Fazley Yaakob, Sheila Rusly dan Host Asian Food Channel, Sarah Benjamin.
Bukan itu sahaja, Pertandingan Membuat Kerabu juga diadakan pada tahun ini untuk memperkenalkan juadah eksotik tersebut dalam kalangan pelancong yang mengunjungi karnival.
Seperti biasa, Pertandingan Memasak Laksa dibuka kepada tiga kategori iaitu terbuka, kreatif dan chef profesional.
Terdapat juga acara sampingan tradisional bagi mengimbau kembali permainan tradisi seperti pertandingan boling kelapa, kukur kelapa, main guli dan lain-lain.
LILAC 2016 bukan sahaja mempromosikan pelbagai jenis laksa, tetapi juga mempamerkan keunikan, kepelbagaian dan keharmonian budaya Malaysia kepada pelancong tempatan dan luar negara yang melawat ke daerah yang terkenal dengan sejarah Mahsuri itu.