Siapa sini yang suka makan takoyaki? Tapi sebelum itu, mesti ada yang tertanya-tanya apa tu takoyaki? Makanan apa pula tu?
Baiklah, takoyaki merupakan snek Jepun berbentuk bebola yang diperbuat daripada tepung sadur berasaskan tepung gandum dan dimasak menggunakan kuali takoyaki khas. Biasanya diisi dengan sotong kurita yang dikisar atau dipotong dadu, habuk tempura, jeruk halia dan daun bawang. Takoyaki disapu dengan sos takoyaki, sejenis sos yang menyerupai sos Worcestershire, dan mayonis. Takoyaki kemudian ditabur dengan aonori dan parutan ikan tongkol kering (katsuobushi). Terdapat banyak variasi resipi takoyaki. Contohnya, ponzu iaitu sejenis kicap soya dengan dashi dan cuka limau, goma-dare iaitu sos bijan dan cuka ataupun dashi bercuka.
Malah, dekat Malaysia pun sekarang ini boleh dikatakan ramai yang menggemari takoyaki. Kalau singgah ke Aeon Big, pasti yang ramai membelinya. Iyelah rasanya sedap bila dimakan panas-panas. Tapi, kalau anda perasan harga takoyaki sekarang agak mahal. Rasa tak berbaloi nak beli, hah kalau macam tu apa kata buat sendiri je. Dapat banyak dan puas hati!
Nah Wanista kongsi resepi.
1. Bahan acuan:-
- 1 cawan tepung gandum
- 1 1/2 Tbsp tepung jagung
- 2 biji telur saiz A (120g)
- 2 cawan air
- 1 tsp serbuk stok ayam
- 3 tsp kicap cair Jepun/ kicap cair biasa
Cara menyediakan adunan:-
Campurkan kesemua bahan ke dalam mangkuk yang besar. Kacau dan sebatikan dengan pukul sampai semua larut, tiada gumpalan tepung. Tutup dan simpan dalam peti sejuk selama setengah jam. Sediakan bahan inti.
2. Bahan Inti:-
- Octopus / sotong / udang / ketam segera / sosej (pelbagai variasi)
- Daun bawang – hiris nipis
- Kobis bulat yang dicincang/disagat
Cara memasak:-
Panaskan acuan takoyaki dan sapu minyak masak di setiap lubang. Curahkan adunan dalam lubang dalam 3/4 penuh. Letakkan inti di setiap lubang. Taburkan daun bawang dan kobis. Curahkan lagi adunan sampai agak-agak nak melimpah.
Pusingkan bebola takoyaki sampai dapat bentuk bebola. Drizzle dari semasa ke semasa minyak masak dicelah-celah acuan. Teruskan sampai nampak garing. Angkat takoyaki ke pinggan hidangan. Sedia dimakan bersama bahan hiasan atas.
3. Bahan hiasan atas:-
- Sos takoyaki
- Mayonis Japanese
- Ao-nori (serbuk rumpai laut)
- Katsuobushi/bonito flake (kepingan ikan)
Cara hias:-
Letak sos takoyaki dan mayonis. Tabur serbuk rumpai laut dan bonito flakes/ katsuobushi.
4. Bahan untuk sos takoyaki:-
- 1 cawan sos tomato
- 3/4 cawan kicap cair
- 1/4 cawan air asam jawa
- 2 cm halia – tumbuk halus
- 1 ulas bawang putih – tumbuk halus
- 1/2 cawan gula
Cara menyediakan sos:-
Campur kesemua bahan dalam periuk. Masak dengan api sederhana sehingga mendidih. Kecilkan api dan reneh sampai dapat kepekatan yang dikehendaki. Sejukkan sos, tapis ke dalam botol sos (botol sos yang biasa orang jual burger guna tu) – guna tapis paling halus/tapis teh sebab nanti lubang botol tersumbat pulak dengan bawang putih/halia.