Sebuah helikopter yang dipercayai membawa beberapa orang kenamaan (VIP), termasuk seorang timbalan menteri, dari Betong ke Kuching dilaporkan hilang sejak petang tadi.
Menurut laporan yang belum disahkan, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dan suaminya Asmuni Abdullah menaiki pesawat tersebut. Noriah mewakili kerusi parlimen Sungai Besar.
Penerbangan RP-C 6828 juga dilaporkan membawa Datuk Sundaran Annamalai, ketua setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, dan ahli parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad.
Pengawal peribadi timbalan menteri Ahmad Sobri Harun turut berada di atas pesawat itu yang dipandu kapten Rudolf Rex Ragas.
Dalam sidang media lewat malam ini, polis Sarawak bagaimanapun enggan mengesahkan nama-nama tersebut. Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman juga berkata lokasi helikopter setakat ini belum berjaya dikesan.
Perdana menteri berkata operasi mencari dan menyelamat sudah digerakkan. “Marilah berdoa agar mereka selamat,” kata Datuk Seri Najib Razak di Twitter.
Ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman sebelumnya berkata helikopter itu berlepas pukul 4.12 petang dan dijadual tiba sekitar 5 petang.
Pesawat jenis Eurocopter AS350 yang membawa orang kenamaan itu dikendalikan oleh sebuah syarikat helikopter tempatan.
Sementara itu, pasukan mencari dan menyelamat yang diketuai polis telah ditubuhkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui Twitter malam tadi.
Melalui media sosial sama, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata pasukan tentera udara dan darat turut dikerah untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.
Sebanyak 30 anggota pasukan bomba dan penyelamat Sarawak digerakkan ke Sebuyau, sekitar 200km dari Kuching malam ini, sebagai pasukan awal pencarian, lapor Bernama.