Kek ‘titisan hujan’ atau bahasa inggerisnya rain drop cake. Bagaimana rupanya? Persis hujan ke?
Untuk pengetahuan anda, kek unik persis titisan air hujan menjadi kegilaan ramai di Jepun dan Amerika Syarikat.
Huffington Post melaporkan, pencuci mulut ini asalnya dicipta seorang chef dari Jepun, Darren Wong yang mendapat sambutan luar biasa di negara matahari terbit itu. Kini, ianya turut menjadi kegilaan masyarakat di New York apabila sebuah restoran, Smorgasburg menjualnya di sana.
Menurut mereka yang sudah mencubanya, kek ini tidak menawarkan sebarang rasa yang kuat, kelebihannya lebih kepada tekstur yang ringan. Menggunakan ramuan daripada air mineral dan agar-agar, kek ini sangat baik untuk mereka yang menjaga kesihatan kerana langsung tidak mempunyai kalori.
Bunyinya agak menarik bukan, walaubagaimanapun kek ‘titisan hujan’ ini tidak dijual di Malaysia. Tapi, mungkinkah kek ‘titisan hujan’ bakal cetus fenomena di Malaysia nanti?