Kesedaran terhadap penjagaan aurat wanita ketika di wad bersalin mencetuskan idea kepada lapan kakitangan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Kemaman mencipta seluar bersalin.
Kajian keberkesanannya yang dijalankan terhadap 50 ibu bersalin di Hospital Kemaman mendapati rata-rata bersetuju menggunakan seluar berkenaan kerana dapat membantu mereka bergerak dalam keadaan lebih selesa selain memberi penjagaan aurat secara maksimum selaras tuntutan Islam.
Selain itu, petugas di wad bersalin turut menyambut baik penggunaannya kerana mereka juga dapat menjalankan pemeriksaan jantung bayi
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Dr Saifur Rahman Mohamad berkata, seluar bersalin itu juga mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai kemudahan disediakan kepada ibu bersalin di hospital selaras konsep hospital mesra ibadah yang dilaksanakan tahun lalu.
“Buat masa ini, kami masih berbincang dengan pihak pembekal untuk menyediakan bekalan seluar berkenaan memandangkan kosnya yang tinggi dan cara pembuatan termasuk jahitan memerlukan teknik tertentu.
“Kami jangka penggunaan seluar ini dapat dipraktikkan di semua hospital di seluruh negeri menjelang tahun depan,” katanya pada sidang media di Wisma Persekutuan, di sini, semalam.
Dr Saifur berkata, penggunaan seluar berkenaan membantu mengurangkan rungutan pelanggan dan kes kelahiran berisiko dan juga pesakit mengambil tindakan bersalin di rumah kerana malu serta tidak mahu prosedur kelahiran dijalankan doktor lelaki.
“Kadang-kadang disebabkan kekurangan masa dan kekangan kerja, jururawat juga tidak dapat memantau ibu sepenuhnya, sekali gus meningkatkan rungutan dan aduan dalam kalangan pesakit dan keluarga.
“Selain itu, nisbah ibu bersalin lebih ramai berbanding petugas iaitu 2:1 turut menyukarkan pemantauan lebih kerap.
“Dengan inovasi sebegini kita dapat meningkatkan perkhidmatan di hospital terutama kepada ibu bersalin,” katanya.
Mengenai ciri seluar berkenaan, Pakar Sakit Puan Hospital Kemaman Dr Faizan Irdawaty Endut berkata, permukaan lubang atau lubang perineum di bawah yang luas memudahkan proses menyambut kelahiran bayi.
“Selain bukaan perineum, seluar yang dibuat menggunakan kain kapas ini juga mempunyai zip di sisi selain pinggang bergetah dan boleh dilaras.
“Fabrik lycra lembut di bahagian abdomen memberikan keselesaan kepada pemakainya.
“Selain itu, ia juga boleh menjaga aurat pesakit di bahagian perineum termasuk ketika ibu bersalin mengubah posisi,” katanya.
Menurutnya, proses menanggalkan seluar berkenaan juga mudah terutama apabila berlaku kecemasan atau proses bersalin perlu dilakukan secara pembedahan.