Memang tidak dinafikan, manusia ini berlainan sifatnya. Macam tona kulit jugalah, ada yang cerah, ada yang hitam manis, ada yang gelap. Tetapi, satu-satunya negara maju yang sering mengejutkan mata dunia dengan inovasi peliknya adalah Jepun.
Dalam banyak-banyak semburan wangian, kenapa yang berbau seperti kepala kucing jugalah yang diciptanya. Agak-agak laku ke semburan ini di pasaran? Mungkin juga, kalau tidak, masakan ada syarikat yang mencadangkan pengeluaran produk semburan berbau kepala kucing ini. Bak kata pepatah, “kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang.”
Pastinya ia mendapat permintaan yang ramai daripada orang awam. Al-maklumlah, ramai juga penduduk tempatan Jepun yang mencintai haiwan berbulu yang satu ini. Sebab itulah adanya pulau yang dipenuhi dengan habitat kucing seperti di Pulau Aoshima kan?
Berbalik kepada semburan berbau kepala kucing ini tadi, hanya orang yang betul-betul sayangkan kucing sahaja yang tahu betapa nikmatnya untuk dapat menghidu kepala kucing. Ia digambarkan seperti “bau hangat sinaran matahari atau mungkin aroma roti yang baru dibakar.” Hal ini lah yang membuatkan sebuah syarikat Jepun, Fellisimo berasa terpanggil untuk menghasilkan bauan sensasi kepala kucing.
Selama empat (4) bulan lamanya pihak Fellisimo menjalankan uji kaji saintifik dengan menghidu kepala kucing agar bau semburan itu benar-benar persis bau kepala kucing. Di khabarkan juga, Encik Yamamoto sendirilah yang menghasilkan wangian berkenaan. Hebat tak?
Semburan pewangi fabrik itu dipasarkan pada harga US $9.90, malah turut hadir dalam bentuk krim tangan. Krim tangan itu bukan sahaja berbau seperti kucing malah akan membuat tangan si pemakai menjadi sangat lembut seperti permukaan bulu kucing gebu.
Ya benar, bukan semua kucing berbau harum, tetapi anda tidak perlulah risau -semburan itu hanya dihasilkan dengan menggunakan bauan yang terbaik.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.felissimo.co.jp