IKEA, sebuah gedung beli-belah barangan perhiasan dan peralatan dalam rumah khususnya sangat terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selain menyediakan kemudahan bilik contoh rekaan dalaman untuk memberi inspirasi kepada para pelanggan yang berkunjung, antara lainnya yang turut menjadi tarikan utama adalah restoran IKEA sendiri. Menyediakan lebih puluhan menu ala Sweden, hidangan yang pastinya lazat dan mengukir senyuman bagi mereka yang menikmatinya.
Julung buat kali yang pertama, baru-baru ini, satu acara menarik yang dipanggil “Roof Capping Event” itu telah diadakan bersama para pengamal media untuk meraikan kejayaan gedung berkenaan menjelang pembukaan rasmi cawangannya yang kedua di Cochrane, Cheras pada hujung November tahun ini.
“Roof Capping” merupakan sebuah majlis khas yang diadaptasi daripada tradisi asal Sweden bagi meraikan tamatnya pembinaan sesebuah rumah atau bangunan selain memberi penghargaan kepada mereka berkenaan yang membantu merealisasikan misi tersebut.
Pengarah Runcit IKEA Malaysia, Singapura dan Thailand, Mike King berkata, “IKEA Cheras bakal menyediakan lebih banyak kelengkapan rumah ala Sweden dengan rekaan menarik, berfungsi, mampu dimiliki dan berkualiti untuk lebih ramai rakyat Malaysia. Gedung baru IKEA ini ialah sebahagian daripada wawasan pengembangan operasi kami di Asia Tenggara. Kehadiran kami di kawasan kejiranan Cheras mencerminkan visi kami dalam mewujudkan kehidupan seharian yang lebih baik untuk orang ramai”.
Dikhabarkan juga, gedung ini mempunyai ruang membeli-belah sebesar 41,000 meter persegi, iaitu 20 peratus lebih besar daripada gedung di Damansara. IKEA Cheras juga terletak lebih kurang 5 minit pemanduan dari pusat bandar raya, boleh diakses dari MAJU Expressway dan lebuh raya SMART.
Mengulas lanjut, “Kami mendapat sambutan yang amat menggalakkan di mana lebih 300 individu dengan pelbagai bakat dan kepakaran telah diambil bagi menyertai tenaga pekerja di IKEA Cheras. Kini, dengan adanya pasukan pekerja yang bersemangat dan komited, gedung baru ini bakal memastikan lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menikmati pengalaman unik membeli-belah di IKEA yang sememangnya dikenali dan disukai ramai”.
Untuk maklumat lanjut berkenaan IKEA Malaysia, sila layari www.ikea.com.