Pernah tak anda mengalami situasi dimana sedang rancak berbual ni, seronok bergosip bukan main! Akan tetapi tiba-tiba anda terhidu sesuatu yang datangnya dari rakan anda itu? Bau yang sungguh tidak menyenangkan hidung anda. BAU APA NI?! Eh tak mungkinlah anda begitu selamba nak menegur kan? Ya. Nafas mulut berbau.
Masalah nafas mulut berbau atau bahasa saintifiknya halitosis adalah sejenis komplikasi yang sering berlaku pada setiap manusia. Sedarlah anda bahawa bukan semua orang itu sempurna. Puncanya adalah disebabkan oleh gas yang terhasil daripada pembiakan bakteria tidak baik di dalam mulut seseorang terutamanya pada gusi, lidah dan di celah-celah gigi. Tambahan pula, gas itu mengandungi sulfur yang telah menyebabkan ia berbau busuk bagai daging bangkai yang sedang mereput. Eww.
Selain itu, kekurangan air liur juga sedikit sebanyak menyumbang kepada permasalahan nafas mulut berbau ini, lebih-lebih lagi individu yang suka tidur dalam keadaan mulut ternganga. Bernafas melalui mulut akan membuatkan air liur kering dan apabila itu berlaku, ianya akan membuatkan nafas anda berbau.
Air liur adalah cecair yang bagus. Ianya berfungsi untuk membersihkan mulut kita daripada bakteria yang tidak perlu selain sisa makanan yang tertinggal pada gusi dan gigi anda.
Tetapi kawan-kawan, anda usahlah risau, terdapat banyak petua dan cara mudah yang boleh anda ikuti demi menyahkan nafas berbau! Jom lawan!
#1 Jaga kebersihan mulut anda dengan teratur
Selain rutin harian memberus gigi, janganlah pula anda lupa akan kebersihan lidah anda. Lidah juga perlu belaian kasih sayang daripada tuannya. Walaupun kita mengunyah makanan dengan gigi, tidak mustahil jika kebersihan lidah juga terjejas. Gunalah flos untuk mengeluarkan kotoran dan sisa makanan tersekat dicelah-celah ruang antara gigi anda. Untuk lidah, anda bisa membeli batang pembersih lidah dimana-mana farmasi berdekatan dan titikan sedikit cecair ubat kumur sebelum digosok pada lidah anda itu. Pasti nafas anda berbau lebih segar nanti!
#2 Minum air dan kunyah gula-gula getah
Minum banyak air kosong dan mengunyah gula-gula getah juga dapat membantu mulut anda untuk hasilkan lebih banyak air liur. Untuk pengetahuan anda, secara purata, seorang manusia menghasilkan hingga 2 liter air liur sehari! Hebat kan? Untuk menghindar nafas berbau, kita perlu menggalakkan pertambahan air liur di dalam mulut. Oleh itu, sila berhenti minum dan makan benda-benda yang bergula. Sebaliknya gantikan dengan air kosong dan harus diingatkan, cari gula-gula getah yang tidak bergula okay?
#3 Kumur dengan cecair pencuci mulut
Penyakit gusi akan menyebabkan gusi anda terobek daripada cengkaman gigi. Dengan itu, lebih mudah bakteria memasuki kawasan ruangan yang terdedah. Lakukan perbuatan mengumur dengan cecair pencuci mulut setiap kali selepas anda memberus gigi kerana terdapat kawasan didalam mulut anda yang sukar dicapai oleh berus gigi. Jika anda berkumur, ini sekaligus akan membantu membersihkan ruang dan kawasan yang tidak dapat dibersihkan dengan berus gigi, dalam masa yang sama dapat menghindar pembiakan bakteria.
#4 Pemeriksaan berkala di klinik gigi
Tahukah anda sebenarnya antara punca utama nafas mulut berbau adalah kerana penyakit gusi dan plak (sisa makanan yang telah lama tersekat dicelah gigi mengeras dan berwarna hitam). Nafas berbau menandakan mulut anda tidak sihat dan ia harus dirawat secepat yang mungkin. Lakukan pemeriksaan gigi berkala agar kesihatan mulut anda terjaga dan bersih sentiasa. Jangan tunggu hingga gigi anda gugur baru heboh seluruh kampung nak pergi klinik gigi. Masa itu nasi dah menjadi bubur, tiada berguna.