Nusajaya: Kerajaan negeri menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan Johor akan keluar dari Malaysia dan membentuk negara sendiri.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim berkata, adalah mustahil untuk perkara itu (keluar Malaysia) berlaku berikutan Johor berjanji untuk bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Berhubung kita (Johor) hendak keluar Malaysia, ia hanya pandangan rakyat dan mustahil, malah ia tidak boleh berlaku. Ini bukan perkara mudah, ia memerlukan proses yang sangat banyak dan panjang.
“Kita juga bersetuju untuk bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini, semalam.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk pihak berkuasa dalam setiap hal atau isu yang timbul, lebih-lebih lagi yang mengundang kekeliruan.
Katanya, antara contoh ialah isu titah Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, baru-baru ini berhubung hal bendera yang diviralkan di laman sosial di mana ia perlu dirujuk bagi mengetahui kesahihan berita terbabit.
“Apabila timbul isu yang menjadi kekeliruan seumpama ini, orang ramai perlu merujuk pihak berkuasa termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor,” katanya.
Ismail berkata, adalah tidak elok untuk membuat andaian dan mengundang spekulasi tidak baik terhadap pentadbiran negeri ini.