Terkini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menarik balik sijil pengesahan halal syarikat Secret Recipe Manufacturing Sdn Bhd disebabkan pelanggaran prosedur pensijilan melibatkan kesalahan kebersihan dan amalan pengilangan (GMP) yang serius.
Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusoff melalui satu kenyataan yang disiarkan melalui Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), penarikan sijil yang berkuatkuasa pada 7 Mei lalu itu walau bagaimanapun bukan disebabkan kesalahan penggunaan bahan haram dalam pemprosesan produk itu.
“Penarikan sijil halal tersebut tidaklah menghalang syarikat berkenaan untuk memohon semula Sijil Halal setelah tindakan pembetulan telah dibuat dan mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia,” kata Jakim.
Difahamkan, Jakim sudah memanggil syarikat itu dan mereka berjanji akan melakukan tindakan segera terhadap kesalahan yang dilakukan sehingga menyebabkan sijil halal ditarik balik. Bagaimanapun, Jakim akan membuat penilaian semula terhadap permohonan tersebut berdasarkan pemeriksaan dan pematuhan terhadap Malaysia Standard 1500: 2009 dan Manual Proseder Pensijilan Halal Malaysia 2014.
“Jakim memandang serius terhadap perkara ini dan mengingatkan setiap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia agar sentiasa mematuhi piawaian dari semasa ke semasa. Tindakan juga akan diambil tanpa kompromi kepada mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran pematuhan piawaian pensijilan halal,” kata Hakimah.
Astro Awani