Tempoh empat tahun berjalan di laluan seni tanah air, Nor Atiqa Noor Azraff atau nama pentasnya Kaka Azraff dilihat terus melangkah ke hadapan dengan gaya tersendiri.
Satu demi satu singlenya bermula dengan ‘Bawaku Pergi’ pada tahun 2012, ‘Infiniti Cinta’ (2013) dan ‘Terpulanglah’ (2014) berhasil menjadi siulan dan melekat di halwa telinga peminat. Demi terus mengekspresikan cintanya yang mendalam terhadap dunia nyanyian, kini Kaka mempersembahkan buah tangan baharu kepada peminat dengan lagu yang berjudul, ‘Bukan Hal Aku’.
Single ‘Bukan Hal Aku’ yang merupakan ilham sepenuhnya oleh The GoodFellas ini menjadi lebih istimewa apabila memperdengarkan dan memperlihatkan vokal bertenaga Kaka dan pada waktu yang sama, turut mengadun vokal Alif dan Syarif dari SleeQ bagi melengkapi keindahan lagu ini.
Mengulas lebih lanjut tentang single baharunya, wanita berusia 26 tahun itu berkata, beliau cukup teruja dapat mendendangkan lagu ‘Bukan Hal Aku’ yang diyakini mempunyai aura yang tersendiri untuk diangkat sebagai single baharunya pada tahun ini.
“Pertama kali mendengar lagu ini, saya terus jatuh hati ibarat cinta pandang pertama. Saya sangat menyukai melodi dan liriknya yang kedengaran santai, namun ia memperdengarkan impak berbeza daripada tiga buah single saya sebelum ini. Sejak itu, saya terus memberitahu kepada pihak pengurusan, Uprising Entertainment Sdn. Bhd. untuk menjadikan lagu ini sebagai hadiah terbaharu saya kepada peminat.
Tidak hanya itu, ‘Bukan Hal Aku’ turut menampilkan video muzik yang diarahkan oleh pengarah terkenal, Ghaz Abu Bakar. Sesi penggambaran video muzik ini telah dijalankan pada 14 Februari lalu yang berlatarkan sebuah studio di Sunway Damansara dengan bantuan seramai 10 krew produksi. Ia turut menampilkan kemunculan khas oleh SleeQ dan kawan baik Kaka yang merupakan aktres, model dan hos popular, Juliana Evans. Video muzik ini dibikin mengikut cantuman idea Ghaz bersama syarikat pengurusan Kaka yang mahukan kelainan dengan mempersembahkan eleman futuristik.
“‘Bukan Hal Aku’ adalah sebuah video muzik yang saya cuba ‘bermain’ dengan fesyen terkini yang dilihat bersesuaian dengan lagu dan imej Kaka. Ia kelihatan ‘simple’, tetapi elegan,” jelasnya ringkas.
Anda boleh dengar Kaka feat Sleeq – http://kkbox.fm/PU0f0V