Petisyen kepada White House yang meminta Washington membantu membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan atas kesalahan jenayah dianggap tidak wajar, berbahaya dan berisiko menjejaskan kedaulatan negara.
Ia dirumuskan beberapa pemerhati, ahli akademik serta penganalisis politik kepada The Rakyat Post, tindakan itu seolah-olah ‘mengundang penjajahan secara terhormat’.
Penganalisis politik, Dr. Sivamurugan Pandian ketika dihubungi berkata, petisyen kepada White House itu boleh membahayakan kedaulatan Malaysia, yang mungkin terpaksa terus-menerus merujuk kepada negara itu dalam semua perkara.
“Sekali mereka meminta bantuan luar, ia akan dianggap seolah memberi lampu hijau untuk negara itu berterusan masuk campur urusan negara lain,” Sivamurugan memberi peringatan.
Jelasnya, ia juga seolah-olah menunjukkan kepada dunia, Malaysia tidak mengamalkan sistem perundangan dan kehakiman yang telus.
“Negara kita berdaulat dan mempunyai sistem perundangan tersendiri yang tidak memerlukan campur tangan asing. Jika perkara (petisyen) itu berlaku (diambil tindakan), ia akan membolehkan White House masuk campur dalam urusan dalaman negara lain. White House akan memandang gesaan itu sebagai satu jalan untuk masuk campur urusan dalaman negara lain, akibatnya akan menghuru-harakan keadaan,” jelasnya.
Pakar perundangan antarabangsa yang juga Penasihat Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Salawati Mat Basir pula berkata, perbuatan cuba memfailkan petisyen itu, sebenarnya menjatuhkan maruah negara dan mempunyai unsur-unsur menghasut negara luar untuk memandang Malaysia sebagai negara yang tidak menegakkan keadilan.
“Memanggil kuasa luar untuk masuk campur dalam urusan negara sangat tidak wajar, kerana perbuatan itu seperti memperlekehkan perundangan negara ini. Kes Anwar itu tidak patut dipanjangkan, kerana mahkamah tertinggi Malaysia melalui panel lima hakim, telah sebulat suara mendapati Anwar bersalah dan perlu menjalani hukuman penjara,” katanya kepada The Rakyat Post.
Salawati menyifatkan tindakan menghantar petisyen kepada White House itu sebagai mendedahkan kebodohan diri mereka yang memfailkannya kepada negara luar, kerana sanggup memperjudikan masa depan negara, hanya untuk melepaskan seorang individu yang telah disabitkan kesalahan.
“Negara kita bukan merdeka baru setahun dua, tetapi sudah berpuluh tahun. Rakyat sepatutnya berfikiran lebih matang dalam membuat keputusan, supaya tidak menjerumuskan negara ke kancah kemusnahan. Malaysia mempunyai perlembagaan dan sistem kehakiman negara ini juga merupakan sebuah badan yang terasing daripada sebarang pengaruh. Itu sudah cukup untuk membuktikan, kita tidak memerlukan sebarang campur tangan luar dalam sebarang urusan dalaman negara,” tegas Salawati.
Penulis prolifik dan juga Pensyarah Kanan Penulisan, Komunikasi Politik dan Sejarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Jeniri Amir pula berkata, petisyen memohon bantuan White House, bagi membebaskan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu boleh menimbulkan ketegangan antarabangsa, kerana membabitkan kuasa besar dunia.
“Saya berpendapat, pihak yang menghantar petisyen itu tidak mengambil berat masa depan negara yang melibatkan berjuta-juta rakyat, demi membebaskan seorang pemimpin kesayangan mereka. Mungkin juga pihak yang menghantar petisyen itu sudah buntu, kerana pembangkang ketiadaan pemimpin yang boleh menyatukan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang kini dilihat tidak bersatu,” Jeniri membuat telahan.
Oleh itu, katanya, mereka mengharapkan bantuan Amerika Syarikat untuk menjadi faktor parti-parti dalam PR terus bersatu, sementara Anwar dapat dibebaskan, kerana hanya Anwar yang mempunyai keupayaan untuk menyatukan PR.
“Pembangkang sudah menganjurkan perhimpunan #KitaLawan, sebagai petisyen pada peringkat kebangsaan dan juga menghantar petisyen ke White House, sebagai langkah membebaskan Anwar pada peringkat antarabangsa. Namun, perkara itu (usaha pembebasan Anwar) tidak boleh dijadikan alasan, kerana ia memberi implikasi besar kepada kedaulatan negara,” katanya.
Sementara itu, pakar Perlembagaan dan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, petisyen memohon bantuan kuasa luar adalah sesuatu yang amat tidak adil untuk mahkamah Malaysia. Ini kerana, kata Shamrahayu, keputusan mahkamah harus diterima semua pihak, memandangkan sistem pentadbiran negara ini adalah berdasarkan perlembagaan.
“Saya fikir, sistem pentadbiran keadilan di Malaysia telah diiktiraf undang-undang negara. Apa jua keputusan mahkamah adalah sistem berdaulat yang menunjukkan kedaulatan negara yang merdeka. Tidak wajar bagi pihak lain membuat permohonan kepada kuasa negara luar. Ia adalah sesuatu yang tidak adil untuk mahkamah Malaysia yang bertindak mengikut perlembagaan,” katanya.
Beberapa wartawan veteran tempatan turut berkongsi pandangan yang sama mengenai isu itu.
Bekas pengarang kumpulan New Straits Times (NST), Datuk Syed Nadzri Syed Harun mempersoalkan keperluan untuk terikat dengan Amerika Syarikat memandangkan apa yang telah dilakukan terhadap negara Timur Tengah dan Afghanistan. Kedua-dua petisyen itu, kata Syed Nadzri, boleh disamakan dengan dendam dalam perlawanan bola sepak di mana yang kalah akan menuduh pengadil berat sebelah.
“‘Pencelahan’ adalah di mana masalah bermula. Kita tahu angka di sebalik kedua-dua petisyen. Kedua-duanya tidak boleh dipercayai,” katanya
Datuk Nuraina Samad, bekas pengarang urusan NST berpendapat adalah ‘bodoh’ untuk orang ramai meminta Amerika Syarikat campur tangan dalam urusan dalaman negara ini.
Manakala bekas pengarang urusan NST, Datuk Nuraina Samad berkata, mereka yang telah memfailkan petisyen agar Amerika Syarikat campur tangan telah mengambil tindakan yang ‘bodoh’.
“Bagaimana perkara itu boleh dilakukan? Adakah mereka ini terlalu mundur untuk meminta Obama campur tangan? Negara kita adalah sebuah negara berdaulat yang merdeka. Bukankah memohon bantuan Amerika Syarikat menunjukkan kemunduran? ” soal Nuraina.
Kredit berita: The Rakyat Post