Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak (Penyedar) menyarankan agar perkataan minuman keras ditulis dengan jelas pada bahagian atas minuman jenama ‘Jolly Shandy’ untuk mengelakkan sebarang kekeliruan kepada pengguna beragama Islam.
Pengerusinya, Asmuni Awi berkata notis amaran dan peringatan perlu diletakkan pada rak-rak minuman agar pengguna peka serta memahami jenis minuman tersebut yang banyak dijual secara terbuka di pasar raya sekitar negeri ini. Kerjasama pasar raya dan bahagian penguatkuasaan di bawah agensi kerajaan terlibat perlu dilaksanakan agar tindakan sewajarnya boleh diambil.
“Semua pihak berperanan memberi maklumat dan informasi untuk mengelak kekeliruan bagi minuman atau makanan seperti ini dan adalah menjadi harapan semua pihak agar lebih sensitif dan peka berhubung isu pengguna ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.”
Katanya, paparan reka bentuk pada tin minuman yang agak menarik itu juga mampu menimbulkan kekeliruan kepada warga muda termasuk pelajar sekolah beragama Islam.
“Malah, orang dewasa yang kurang berhati-hati akan ‘terbeli’ minuman tersebut kerana menyangka minuman itu adalah sejenis minuman ringan baru di pasaran,” katanya.
Asmuni berkata pada tahun 2013, banyak pihak telah membantah reka bentuk minuman berkenaan kerana bekas yang digunakan menyerupai minuman ringan biasa yang lain.
“Kandungan sebenar minuman ini tidak dinyatakan jelas, malah corak dan warna tin minuman tersebut seolah-olah sama seperti tin minuman biasa yang berada di pasaran tempatan khasnya.”
“Perkataan ‘contains alcohol’ (mengandungi alkohol) pula hanya dicatatkan dengan tulisan kecil di belakang tin tersebut dan kurang difahami terutamanya kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, minuman keluaran Malaysia itu turut mengandungi campuran ‘Carlsberg’ dengan perisa ringan yang lain seperti laici, gorden kiwi, epal dan nenas.
Sumber berita: The Rakyat Post