Pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 mungkin sengaja diterbangkan dari laluan asal oleh seseorang dalam kokpit, kata seorang pakar.
Pakar nahas penerbangan menganalisis data satelit dari pesawat berkenaan dan mendapati bahawa kapal terbang itu terbang selama beberapa jam sebelum terputus hubungan.
Pemeriksaan teliti terhadap bukti yang diumumkan bahawa MH370 membelok sebanyak tiga kali selepas perbualan terakhir dengan menara kawalan. Pertama membelok ke sebelah kiri, diikuti dua lagi dan kemudiannya ke sebelah barat, dan ke selatan menuju Antartika.
Pakar terkemuka dalam kajian bencana penerbangan, Malcolm Brenner berkata, tindakan membelok berkenaan “mencadangkan” bahawa seseorang yang berada dalam kokpit dengan sengaja menerbangkan MH370 dari laluan asal.
“Kejadian ini mendapat perhatian dari seluruh dunia, dan adalah sesuatu yang saya sendiri belum lihat sepanjang 40 tahun kerjaya dalam penerbangan,” kata Brenner.
Dakwaan berkenaan sedang dibuat dalam bentuk dokumentari oleh National Geographic yang dijangka disiarkan pada bulan depan. Kandungan dokumentari itu bakal memaparkan Brenner dan pasukan pakarnya berusaha untuk menyelesaikan misteri MH370.
Sebelum ini, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di Australia menyatakan bahawa pesawat itu akan ditemui dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Pada ketika pencarian pesawat berkenaan yang dijangka tamat pada penghujung Mei, Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan berkata, beliau berharap pasukannya akan menemui bangkit pesawat.
Bagaimanapun, JACC masih berdiam diri terhadap isu itu dengan berkata, kerajaan China, Malaysia dan Australia akan menilai tindakan seterusnya.
Pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang. Sejak itu, pesawat berkenaan tidak dapat dikesan. Bagaimanapun, Dolan yakin pasukannya semakin hampir untuk menemui bangkai pesawat. – BH Online