Buruk akibatnya jika tidak menjaga kesihatan dan kecantikan sejak awal tatkala majlis perkahwinan yang makin menghampiri. Lebih awal anda memulakan rutin penjagaan diri, lebih baik, kerana kecantikan mengambil masa yang agak lama untuk menunjukkan kesan.
Jom ikuti tips untuk anda menjaga diri sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum majlis berlangsung:
1) Rejim membersih wajah
Amalkan pembersihan wajah yang betul dan lengkap; terdiri daripada mencuci, scrub, toner, penggunaan serum serta penggunaan krim siang dan malam. Jangan ambil ringan kerana wajah yang bersih menampilkan solekan yang lebih mulus ketika di atas pelamin kelak.
2) Jari, tangan dan kuku
Jari tangan adalah aset terpenting di mana cincin disarungkan dan pastinya ia akan menjadi tumpuan lensa kamera. Kuku boleh diubah bentuk menjadi cantik dalam masa tiga bulan jika anda tahu bagaimana membentuknya dengan baik kerana ia cepat tumbuh semula. Diingatkan juga, anda harus gunakan krim tangan setiap hari.
3) Rawatan wajah
Selain menjadikan wajah lebih bersih, ia juga memberikan peluang untuk anda berehat daripada segala penat lelah membuat persiapan untuk majlis perkahwinan anda. Tidak semestinya harus ke salun atau spa setiap minggu, anda juga boleh buat rawatan wajah di rumah menggunakan DIY mask kesukaan anda.
4) Gigi
Gigi yang putih berseri menyumbang kepada senyuman yang cantik menawan. Buat rawatan di klinik gigi. Gunakan ubat gigi dan berus gigi yang bersesuaian serta jangan lupa untuk memberus gigi setiap kali selepas makan.
5) Krim SPF dan alat solek yang betul
Sentiasa gunakan krim SPF ketika keluar rumah untuk mengelakkan kulit rosak. Jangan tukar jenama alat solek lain pada waktu ini, bimbang jika ia tidak sesuai untuk anda dan akan menjadikan kulit anda bermasalah.
6) Mata
Amat penting untuk memastikan kulit di sekitar mata tiada kesan kedut mahupun lingkaran gelap yang sukar untuk hilang dalam waktu yang singkat. Justeru, amalkan pemakaian krim mata atau topeng mata pada waktu malam sebelum tidur. Pastikan juga anda sentiasa terhidrat, kerana kurang minum air putih menjadikan lingkaran gelap bawah mata semakin ketara.
Buat anda yang ingin menggunakan kanta lekap pada hari bahagia, biasakan diri memakainya tiga bulan sebelum. Jangan pula baru nak mencubanya pada hari penting nanti, gusar jika ia akan meninggalkan kesan iritasi pada mata dan menyebabkan anda tidak selesa.
7) Badan
Gunakan losen badan selepas mandi. Pasti anda mahu kelihatan segar dan cantik di mata suami pada hari perkahwinan dan malam pertama. Jaga bahagian-bahagian tertutup seperti ketiak dan bahagian pelipat. Biasakan diri dengan wangian yang sesuai dengan personaliti diri agar dapat meningkatkan keyakinan diri anda.
Selamat mencuba!