Kami telah mendapat tahu bahawa Datuk Aznil Nawawi berpeluang ke Los Angeles sejak 7 sehingga 14 Januari ini. Beliau ke sana seorang diri atas jemputan NBC Universal untuk acara anjuran International Press Junket. Acara itu bertujuan memperkenalkan program musim baharu seperti Live From Red Carpet, The Kardashians dan Fashion Police.
Peluang keemasan itu dimanfaatkan beliau dengan bergambar bersama personaliti serta selebriti popular seperti Kim Kardashians, Ryan Seacrest, Giuliana Rancic dan penyanyi Christina Milian.
“Paling menyeronokkan dapat menemubual secara perseorangan dengan Christina, Giuliana dan Kim. Mereka sangat peramah.”
“Biarpun gementar dengan keupayaan saya untuk berbahasa Inggeris, saya beranikan diri juga untuk atasi ketakutan itu. Saya belasah saja kerana peluang ini umpama seumur hidup sekali.”
“Saya tak nak rasa diri ini kecil biarpun pasti ada yang akan ketawakan tahap bahasa Inggeris ini. Tak kisahlah orang nak cakap Inggeris berterabur kerana saya sangat seronok di sini,” katanya.
Menurut Datuk Aznil lagi, penyanyi Christina akan tampil dengan program realiti sendiri iaitu, Christina Milian Turned Up yang akan bersiaran di Channel E! mulai 18 Januari ini.
“Saya turut berpeluang mencuba menjadi pengacara E! NEWS di samping Giuliana, Jason dan Terrence. Saya cuba letakkan diri ini sebaris dengan mereka biarpun bahasa Inggeris saya tidaklah bagus mana.
“Saya tolak rasa rendah diri. Saya juga berpeluang bertemu Kelly Osbourne dan Brad Goreski yang kedua-duanya mengacarakan Fashion Police,” katanya yang akan menghadiri Golden Globe Awards Ahad ini.
Saksikan video Datuk Aznil di Los Angeles: http://youtu.be/wWILDq-pQA8
Sumber: Berita Harian Online