Pada Rabu bersamaan 7 Jan 2015, dunia dikejutkan dengan akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang diserang dengan senjata api sehingga menyebabkan 12 orang terbunuh.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terpanggil untuk memberi komen malah menyifatkan akhbar tersebut pencetus provokasi. Menurutnya, akhbar satira berkenaan tidak menghormati agama Islam dan Nabi Muhammad.
“Mereka suka membuat karikatur mengenai Nabi Muhammad. Ini provokasi. Walaupun orang Islam tidak harus membunuh tetapi sudah tentu ada kalangan orang Islam yang agak begitu marah dan mereka membuat tindakan sebegitu.
“Apa niat mereka mempermainkan Nabi Muhammad sedangkan mereka tahu ini menyakitkan hati orang Islam. Hanya kerana mereka rasa selamat dan kuat maka mereka boleh buat apa sahaja,” katanya.
“Saya tidak halalkan perbuatan membunuh ini. Bukan saya menyokong perbuatan membunuh. Tetapi kita harus ingat kalau kita sengaja provok orang dan reaksi mereka kita tidak boleh tentu. Sepatutnya tidaklah, tetapi ada orang yang begitu marah. Inilah yang berlaku.
“Menghina nabi dan sebagainya tidak harus dibuat. Mungkin pegangan mereka kepada agama sudah luntur tetapi kita dalam masyarakat manusia yang bertamadun kita harus menghormati kepercayaan orang lain,” tegasnya.
Sebelum ini, 12 orang terkorban selepas tiga lelaki yang dilengkapi senapang jenis Kalashnikovs dan pelancar peluru berpandu menyerang pejabat Charlie Hebdo.
Pada November 2011 pejabat akhbar berkenaan pernah dibom selepas menerbitkan karikatur Nabi Muhammad dengan menggunakan tajuk Charia Hebdo.
Sehingga kini seorang suspek, Hamyd Mourad, 18, yang didakwa terbabit dalam serangan ke atas akhbar mingguan Charlie Hebdo menyerah diri kepada polis di sini, malam tadi.
Apa yang anda perlu tahu tentang akhbar kontroversi ini?
1. Charlie Hebdo atau yang dalam bahasa Inggeris dikenali Charlie Weekly adalah akhbar mingguan Perancis yang memuatkan kartun-kartun satira, laporan, polemik hingga lelucon (humor).
2. Media tersebut dikenali sebagai anti-agama dan sayap kiri, memuat artikel berkait kaum ekstrem kanan, Katolik, Islam, Yahudi, politik, budaya dan lain-lain.
3. Akhbar itu memuatkan sudut pandang sayap kiri dan bahkan orang-orang yang memiliki pandangan abstain (berkecuali).
4. Muncul pada tahun 1969 hingga 1981 yang akhirnya sempat berhenti. Namun, pada tahun 1992 majalah tersebut bangkit kembali.
5. Charb, nama panggilan Stephane Charbonnier, adalah pemred (Pemimpin Redaksi) saat ini. Ia mengetuai akhbar tersebut sejak tahun 2009 hingga akhirnya ditembak mati bersama sembilan yang lainnya di pejabat akhbar berkenaan bersama dua orang anggota polis semalam.
6. Akhbar tersebut terbit setiap Rabu dengan edisi isu-isu yang menarik masyarakat. Akhbar tersebut pernah memuat edisi kontroversi pada 3 November 2011. Edisi ketika itu mengubah nama Charlie Hebdo menjadi Sharia Hebdo dengan mencantumkan Muhammad sebagai editor tamu di dalamnya.
7. Berbagai reaksi dari masyarakat Islam dunia muncul atas pemuatan edisi tersebut. Namun, Charb menyatakan majalah yang dikelola dirinya bebas menyatakan apa pun.
8. Tahun 2007 Charlie Hebdo harus membela diri di pengadilan sehubungan dengan kartun Nabi Muhammad yang diulang cetak di akhbar itu dan membuat umat Islam dunia marah.
9. Namun satira akhbar yang anti-kemapanan itu amat beragam termasuk membuat lelucon (humor) dari aspek-aspek Kristian dan Yudaisme.
10. Dalam sebuah wawancara dengan BBC, Charbonnier mengatakan insiden serangan bom molotov ke pejabatnya pada 2011 merupakan serangan atas kebebasan dari ‘ekstremis tolol’ yang tidak mewakili komuniti Islam di Perancis.
Sumber Utusan Online & Berita Harian Online