Mungkin ada di kalangan anda menganggap pemeriksaan mamogram adalah tidak penting selagi ia tidak menunjukkan simptom-simptom pembengkakan pada payudara. Hakikatnya, pemeriksaan ini penting kerana ia merupakan penyebab utama kematian awal di kalangan wanita.
Apa itu Mamogram?
Mamogram merupakan satu teknik penyiasatan sinar-X terhadap payudara. Ia membolehkan doktor mencari kanser payudara pada peringkat awal di mana rawatan mungkin lebih untuk memulihkan pesakit.
Kebanyakan kes kanser payudara berlaku tatkala wanita sudah pun mengalami menopaus. Harus diberi perhatian juga bahawa kebarangkalian berlakunya kanser payudara meningkat dengan peningkatan umur.
Siapa yang memerlukan Mamogram?
Sekiranya anda berumur di antara 40 hingga 49 tahun, anda dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan memogram sekali setiap satu atau dua tahun. Jika umur anda melebihi 50 tahun, anda dinasihatkan supaya menjalani ujian tersebut setiap tahun.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda tergolong sebagai berisiko tinggi, doktor mungkin akan menasihatkan anda mula menjalani pemeriksaan mamogram pada usia yang lebih muda.
Doktor juga akan menasihatkan anda menjanai pemeriksaan mamogram sekiranya anda mengalami perkara-perkara berikut:
1. Payudara mempunyai bengkak yang sukar diterangkan secara klinikal dan patologi, ataupun sekiranya mempunyai bengkak di ketiak yang mana mungkin disyaki sebagai bengkak kelenjar limfa.
2. Sekiranya kulit di payudara mempunyai perubahan seperti pada kulit limau, kemerahan, melekuk dan apa sahaja perubahan yang boleh dikaitkan dengan kanser payudara.
3. Puting payudara mengeluarkan darah ataupun cecair lain yang sebelum ini belum pernah berlaku.
4. Perubahan pada puting payudara seperti ianya tidak lagi timbul dan tenggelam ke dalam.
Mengapa saya memerlukan Mamogram?
Mamogram dapat mengesan kanser payudara pada peringkat paling awal iaitu sebelum ketumbuhan dapat dirasai oleh payudara. Ia juga berkesan untuk meneliti kesihatan am payudara. Pentingnya ujian ini adalah untuk mengesan perubahan pada tisu payudara yang mungkin terlalu kecil untuk dikesan secara pemeriksaan fizikal saja. Sekiranya perlu, doktor akan melakukan pemeriksaan lanjut seperti mengambil biopsi atau sampel tisu payudara.
Bagaimana Mamogram dilakukan?
Pemeriksaan ini dilakukan oleh Juru X-Ray wanita. Ia mengambil masa selama 10 minit hingga 30 minit. Anda diperlukan untuk mendedahkan bahagian dada anda. Kemudian payudara anda akan diletakkan di antara 2 plat yang terdapat pada mesin. Selepas itu dedahan sinar-X akan dibuat. 2 keping filem sinar-X akan diambil bagi setiap sebelah payudara melalui sudut yang berlainan. Pemeriksaan mamogram adalah selamat kerana radiasinya adalah di tahap sangat rendah.
Persediaan untuk Mamogram?
Peringatan: Elakkan menguna minyak wangi, deodorant, bedak atau krim pada bahagian dada dan ketiak pada hari pemeriksaan mamogram. Bahan-bahan dalam produk-produk ini mungkin akan menjejaskan keputusan mamogram. Anda perlu memakai pakaian ringkas atau blaus dan seluar panjang atau skirt panjang. Pakaian atas perlu ditanggalkan semasa pemeriksaan dilakukan.
Tip: Lakukan pemeriksaan selepas haid kerana pada masa itu payudara kurang sensitif. Elak minum minuman yang berkafein (kopi, teh, air berkabonat dan coklat) selama seminggu atau dua minggu sebelum hari temujanji. Kafein boleh menyebabkan payudara terasa sakit.
Bagaimana jika keputusan Mamogram saya positif?
Kebanyakan bengkak di dalam payudara bukanlah kanser. Anda mungkin akan dirujuk untuk penyiasatan lanjut melalui ujian ultrasound dan mungkin juga melalui ujian pengimejan magnetik resonans (MRI). MRI menggunakan kuasa magnetik dan juga gelombang radio untuk melihat di dalam payudara.
Ultrasound juga dapat melihat ke dalam jisim payudara dan boleh membezakan di antara keabnormalan padat. Doktor juga mungkin menasihatkan anda supaya melakukan ujian ulangan sekiranya ujian pertama tidak jelas ataupun menimbulkan syak wasangka.
Doktor juga mungkin akan menasihatkan anda menjalani ujian pembedahan kecil seperti:
1. Aspirasi, jarum akan disuntik pada keabnormalan pada payudara dan disedut keluar cecair ataupun tisu-tisu di dalamnya untuk dibaca oleh doktor yang berkepakaran dalam bidang penyakit (patologis).
2. Biopsi, satu pembedahan kecil bagi mengeluarkan sama ada sebahagian ataupun kesemua jisim abnormal untuk dikaji dengan lebih lanjut oleh doktor.
Di mana anda boleh mendapatkan Pemeriksaan Mamogram?
Anda boleh mendapatkan perkhidmatan ini di pusat-pusat mamogram kerajaan dan swasta. LPPKN menyediakan subsidi bagi pemeriksaan mamogram untuk wanita-wanita layak. Sila rujuk kepada mana-mana klinik LPPKN yang berhampiran.