Seorang wanita di Britain telah menjual susu badannya sendiri pada harga AS$20 (RM69) sebotol dengan tujuan untuk membeli hadiah Krismas kepada anak-anaknya. Wanita tersebut, Rebecca Hudson, 26, setakat ini telah berjaya mengumpul sebanyak AS$4,750 (RM16,606) dalam masa setahun melalui jualan susu badannya yang dijual menerusi online yang telah menarik minat beberapa individu.
Ibu kepada empat orang anak dari Manchester itu memberitahu rancangan televisyen ITV, This Morning, beliau terpaksa mencipta pelbagai jenis susu untuk anak perempuannya, Milly yang dilahirkan 10 minggu lebih awal. Formula susu badan yang dihasilkan beliau sendiri telah memberi kesan kepada anaknya apabila berat badan bayi itu meningkat sebanyak lebih 85 gram setiap minggu.
“Saya tidak mahu membazir kerana perlu mengambil masa yang panjang untuk menghasilkan susu badan,” katanya dalam rancangan This Morning.
Sehingga kini, wanita itu telah memiliki lapan orang pelanggan tetap yang terdiri daripada ahli bina badan yang memerlukan minuman mempunyai khasiat protein asli dan juga tukang masak sebagai perasa tambahan.
“Apa yang mereka ingin lakukan pada susu badan saya semuanya terpulang pada mereka,” kata Rebecca.
Sumber: Kosmo!