Mungkin ada dikalangan kita yang suka mengambil ikan masin dalam juadah makanan harian, yelah ikan masin ataupun telur masin boleh dikatakan penambah selera. Tahukah anda pengambilan makanan sebegitu (ikan masin, telur masin, sayur masin) yang tinggi kandungan garam secara terusan dalam juadah yang banyak dan dalam jangka masa panjang boleh memberi risiko berlakunya kanser nasofarinks atau nasopharyngeal carcinoma.
Apa itu Kanser Nasofarinks? Kandungan zat nitrosamin yang terdapat dalam makanan tersebut mampu mengaktifkan virus Ebstein Barr sehingga menimbulkan masalah pada bahagian nasofarinks. Nasofarinks merupakan kawasan yang terletak pada bahagian belakang rongga hidung. Gejala berdengkur, sakit tekak, jangkitan pada telinga atau kurang pendengaran yang berlaku pada salah satu bahagian telinga merupakan masalah yang sering terjadi di bahagian nasofarinks.
Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Irfan Mohamad, kanser nasofarinks merupakan antara kanser tertinggi dicatatkan di negara-negara Asia termasuk Malaysia.
“Dilaporkan seorang dalam 100,000 orang penduduk di seluruh dunia menghidap ketumbuhan tersembunyi ini. Penyakit ini lebih banyak berlaku di negara China dan negara-negara sekitarnya yang mempunyai peratusan penduduk berbangsa Cina yang tinggi. Malah, di sesetengah kawasan, ia boleh mencecah angka 30 hingga 50 orang dalam 100,000 orang penduduk yang dilaporkan menghidap penyakit ini,” katanya sambil memberitahu, bengkak pada bahagian leher merupakan tanda yang sering dijumpai bagi penyakit itu selain masalah penglihatan berganda atau diplopia.
Negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Singapura pula dikenal pasti sebagai kawasan yang mempunyai risiko dalam kadar pertengahan. Walaupun risikonya lebih rendah berbanding China, tetapi nisbahnya tidak serendah seperti di negara-negara Barat kerana ia masih mencatat angka sedikit iaitu sekitar lima atau enam orang dalam 100,000 orang penduduk.
Tambahnya, selain faktor bangsa, kanser nasofarinks juga lebih banyak dikesan dalam kalangan lelaki dan dari segi umur, kadar itu meningkat selepas berusia 30 tahun dan kemuncaknya pada lingkungan usia 40 hingga 49 tahun.
Bukan itu sahaja, struktur di dalam nasofarinks yang dikaitkan dengan kanser jenis ini ialah lekuk yang dinamakan Fossa of Rosenmuller (FOR). FOR ini terdapat di kanan dan kiri nasofarinks, malah ia merupakan kawasan tercetusnya kanser ini. Virus yang dikaitkan dengan kanser ini, iaitu virus Ebstein Barr dikatakan mudah menjangkiti kawasan tersebut yang mempunyai reseptor untuk mengubah struktur sel dan mengakibatkan terjadinya kanser di kawasan tersebut.
“Asap rokok yang disedut juga dikenal pasti menjadi punca tercetusnya penyakit ini. Gejala kanser nasofarinks ini boleh berlaku kepada beberapa bahagian seperti leher, telinga, hidung, tekak, mata dan saraf,” ujarnya.
Gejala-gejala itu disebabkan oleh struktur dalam nasofarinks itu sendiri yang terletak di bahagian belakang hidung dan ia boleh merebak ke kawasan sekitar seperti mata, otak, hidung dan tekak selain leher, tulang, hati serta paru-paru.