Ebola merupakan satu penyakit demam berdarah yang berpunca daripada jangkitan virus. Virus ini baru sahaja dikenalpasti dan dianggap sebagai suatu virus penyakit yang amat berbahaya di dunia. Ebola mudah berjangkit dan boleh membawa maut. Dalam 50% – 90% kes jangkitan, penyakit ini mengakibatkan kematian, bergantung kepada jenis virus Ebola punca penyakit.
Bacaan lanjut : Apa Itu Virus Ebola?
Terkini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan jumlah kematian terkini akibat wabak maut Ebola yang melanda 8 buah negara sudah mencecah sehingga 5,420 orang, manakala sebanyak 15,145 orang lagi dijangkiti wabak maut itu. Minggu lalu, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sejumlah 5,177 kes kematian dicatatkan dengan 14,413 kes jangkitan yang diterima.
WHO bagaimanapun menyifatkan jumlah sebenar kematian adalah lebih tinggi berdasarkan risiko kematian mangsa wabak maut itu pada tahap 70 peratus. Jumlah kematian akibat wabak Ebola juga terus meningkat di tiga buah negara utama yang terjejas iaitu Guinea, Liberia dan Sierra Leone dengan jumlah kematian tertinggi dicatatkan di ibu negara Liberia.
Angka kematian di Liberia pada 16 November lalu berjumlah 2,964 kematian daripada 7,069 kes yang dilaporkan, manakala di Sierra Leone, sejumlah 1,250 kematian dilaporkan berlaku pada tarikh yang sama daripada 6,073 kes jangkitan. Guinea pula mencatatkan sejumlah 1,192 kematian sejak wabak Ebola dikesan akhir tahun lalu daripada sejumlah 1,971 kes yang dilaporkan. Data yang dicatatkan di Mali, iaitu negara terbaharu yang dikesan telah dilanda wabak Ebola menunjukkan lima kematian daripada enam kes yang dilaporkan.
Ebola yang merupakan salah satu wabak maut mampu berjangkit melalui cecair badan dengan tanda-tanda seperti demam, muntah dan pendarahan kepada individu yang dijangkiti.
KOSMO