Pengarah kontroversi dan penulis novel KARKUMA, Raja Azmi Raja Sulaiman telah dilarang mengadakan pertemuan bersama para pelajar Universiti Islam Antarabangsa Kampus Kuantan pada 18 Oktober 2014 bersempena dengan Hari Terbuka UIAM Kuantan. Kenyataan media di bawah dikongsi oleh syarikat penerbitan buku tersebut, Merpati Jingga di laman Facebook mereka untuk menghuraikan isu ini dengan lebih terperinci.
Menurut pihak pengurusan UIAM Kuantan, antara sebab Raja Azmi tidak dibenarkan untuk mengadakan dialog bersama pelajar ialah kerana banyak novel-novel Raja Azmi mengandungi unsur seks dan fantasi melampau.
Pihak pengurusan UIAM Kuantan juga memberitahu bahawa dalam jawapan pesanan ringkas whatsapp bahawa “apa faedah bedah buku tu kepada mahasiswa, kenapa tidak buku-buku ilmiah yang lain?” Merpati Jingga juga diberitahu bahawa ia mencerminkan pandangan masyarakat terhadap UIA dan tidak parallel dengan biah UIA.
Menurut pihak penerbitan, pihak berwajib dalam UIAM Kuantan telah membuat pertuduhan yang melulu di mana Raja Azmi juga pernah menerbitkan buku-buku ajaran solat untuk kanak-kanak, buku komik Anak-anak Sidek yang berunsurkan patriotik untuk generasi muda dan skrip-skrip drama yang berunsurukan keagamaan disamping buku novel politik yang pro kepada kerajaan pemerintah. Bahkan novel KARKUMA tidak ada halaman yang memaparkan adegan seks seperti yang didakwa.
Merpati Jingga juga mendakwa berdasarkan jawapan pihak pengurusan UIAM tersebut, jelas menunjukkan bahawa UIAM Kampus Kuantan mempunyai sekatan dalam membenarkan seseorang itu ‘memasuki’ kampus dalam memupuk sikap matang para pelajar dan tidak mempunyai sikap yang terbuka. Mereka berpendapat bahawa pihak pengurusan UIAM Kuantan seolah-seolah berperanan sebagai polis moral yang membentuk acuan yang dikehendaki pihak UIAM Kuantan.
Justeru, Merpati Jingga dengan sekaligus menarik balik penyertaan mereka dalam semua program yang telah dipersetujui bersama UIAM Kuantan untuk acara tersebut. Hari Terbuka UIAM Kuantan merupakan acara istiadat konvokesyen institusi tersebut.
Pada masa yang sama, pihak Merpati Jingga telah mengalih penyertaan Raja Azmi pada 18 Oktober 2014 ke Kolej Matrikulasi Labuan yang mahukan penulis itu berkongsi inspirasi dalam bidang penulisan. Pihak Merpati Jingga juga membuka kepada mana-mana kampus IPTA dan IPTS yang mahu mengadakan sessi dialog yang sama boleh menghubungi pihak Merpati Jingga bagi mempersiapkan pelajar-pelajar mereka yang berminat dalam bidang penulisan untuk mengadakan forum bersama Raja Azmi Raja Sulaiman.
Sedikit info menarik mengenai Raja Azmi di dalam bidang penulisan :
- Novel pertamanya, Black Widow yang diterbitkan pada tahun 1993 berjaya terjual sehingga 70,000 naskhah. Beliau juga pernah menerbitkan novel Jendela Putih (1996) diikuti Jijik (1997).
- Novel Cinta 200 Ela ( 1999 ) diharamkan penerbitang oleh KDN kerana mengandungi unsuer seksual melampau.
Sinopsis novel Karkuma
Pada suatu malam, hampir semua penduduk Kampung Cendana dibanjiri air mata apabila Gatha Uda dan isterinya Wanis diberitakan mati dalam keadaan tragis dan misteri. Selama hidup mereka sebagai suami isteri, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama KARKUMA, berhati mulia dan memiliki kelebihan bertutur dengan tumbuh-tumbuhan.
Atas nama cinta Sirehpani, gadis tercantik di Kampung Cendana ini telah berkahwin dengan Karkuma, seorang tukang kebun. Namun, ia telah mengundang dendam Jameng, seorang ketua agama daripada golongan bangsawan yang memiliki kelebihan bertutur dengan jin.
Semakin lama, semakin kejam dendam Jameng, hingga beliau merancang untuk membunuh Karkuma. Jameng dibantu beratus hulubalang istana dan bala tentera daripada golongan jin, untuk menentang Karkuma.