Tudung Fareeda yang sentiasa penuh dengan kontroversi kini dilihat melebarkan lagi sayap jenamanya ke peringkat Asia Tenggara apabila memilih untuk bekerjasama dengan syarikat penerbangan Firefly bagi mengiklankan tudung mereka di badan kapal terbang.
Pengeluar tudung Fareeda Global Resources Sdn Bhd (Fareeda) memilih cara pengiklanan yang unik dengan mempromosikan produk keluaran syarikat itu pada badan pesawat milik Firefly Airlines (Firefly) iaitu pesawat ATR 72-600 bermula tahun ini.
Pengarah Urusan Fareeda, Aminuddin Basiron berkata, penglibatan kali pertama syarikat itu dalam pengiklanan melalui industri penerbangan bertujuan mempromosikan jenama Fareeda di beberapa kawasan di Asia Tenggara khususnya di Malaysia.
“Firefly sedang memperluaskan rangkaian (penerbangan) mereka jadi kami berharap kerjasama dengan Firefly ini akan meningkatkan perolehan Fareeda. Kerjasama ini akan berlangsung selama setahun tetapi kami berharap untuk meneruskannya (selepas itu). Kami percaya ia memberi manfaat kepada kedua-dua syarikat,” katanya.
Menurut Aminuddin, promosi melalui Firefly itu diharap dapat menguar-uarkan jenama Fareeda sebelum syarikat itu membuka lebih banyak cawangan tahun ini termasuk di Terminal Skypark, Subang serta cawangan luar negaranya yang pertama di Brunei.
Ditanya sama ada Fareeda mempunyai rancangan untuk menjual tudung keluaran syarikat itu dalam penerbangan Firefly, Aminuddin berkata perkara itu masih dalam perbincangan.
Iklan Fareeda pada badan pesawat Firefly hanyalah kerjasama permulaan dan kedua-dua syarikat merancang untuk menjalinkan lebih banyak kerjasama pada masa depan.
“Fareeda ialah jenama tempatan dinamik dan berasaskan keluarga yang kini sangat berjaya, dan dari satu sudut ia serupa dengan Firefly,” katanya lagi.
Sumber – Sinar Harian, Mynewshub