Banyak betul kes yang melibatkan kematian kanak-kanak menggemparkan kita akhir-akhir ini. Selain kes kanak-kanak perempuan jatuh dari tingkat 3 pusat membeli belah The Gardens dan satu lagi kes mayat kanak-kanak dijumpai dengan badan dan kepala terpisah, laporan lain yang tak kurang mengejutkan adalah kematian kanak-kanak berusia 4 tahun yang menemui ajal akibat tercekik bebola ikan.
Berdasarkan liputan New Straits Times, dalam kejadian jam 3.10 petang tersebut, mangsa yang dikenali sebagai Lim Wei Kiat, dilaporkan sedang makan dan mengambil bebola ikan tersebut dari ibunya. Kanak-kanak lelaki tersebut juga dikatakan telah memakan bebola ikan sebesar saiz wang syiling 50 sen tersebut dalam keadaan terburu-buru.
Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital Sultan Abdul Halim, Kedah untuk rawatan kecemasan namun, gagal diselamatkan. Kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia selepas ketika tiba di hospital berikutan kekurangan oksigen.
Menurut laporan MStar , Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin mengesahkan insiden itu dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut.
Malang tidak berbau namun berita seperti ini mungkin harus dijadikan pengajaran terutama kepada ibubapa yang mempunyai anak kecil supaya lebih berhati-hati selepas ini.