Menurut Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, pembangunan pesat bandar Miri sejak ia mendapat status bandar raya pada 2005 mungkin boleh menggantikan bandar raya Kuching sebagai ibu negeri Sarawak yang baharu. Bagi anda yang pernah berkunjung ke Miri, banyak projek projek pembangunan dilaksanakan di bandar raya Miri sekarang, dan bukan satu perkara yang mengejutkan apabila bandar raya Miri boleh mengatasi populariti bandar raya Kuching pada masa akan datang.
Pada 20 Mei 2005, bandar Miri yang terkenal dengan pusat galian minyak itu telah dinaikkan taraf kepada bandar raya dan menjadi bandar raya bukan ibu negeri yang pertama di negara ini untuk diberi status tersebut.
Miri Central Park
Terdapat inisiatif kerajaan negeri dan swasta yang akan mengubah bandar raya Miri menjadi lebih bertenaga daripada sebelumnya dengan adanya Miri Central Park dengan kos sebanyak RM40 juta. Digelar sebagai pembangunan pinggir laut autentik yang pertama di negeri ini, Miri Central Park diliputi 6.28 hektar tanah dan dijangka siap pada awal 2016. Taman ini yang dilaksanakan secara bersama antara Pantai Bayu Indah, ahli Kumpulan Samling dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita), yang dimiliki badan berkanun negeri. Antara ciri utama kawasan itu ialah laluan pejalan kaki pinggir laut 500 meter, sebuah amfiteater dan taman permainan yang besar untuk berkelah dan aktiviti air.