Adakah anda bersedia untuk mengambil risiko terhadap kesihatan dan badan anda hanya untuk satu gigitan burger paling pedas di dunia? Untuk membeli burger paling pedas di dunia yang dijual oleh kedai Burger Off ( XXX Hot Chili Burger ) yang terletak di Sussex, England, anda perlu berumur lebih 18 tahun. Burger paling pedas di dunia itu mempunyai 9.2 juta pada skala haba Scoville ( Cili Jalapeno mempunyai nilai skala haba sekitar 2,500 dan cili purata adalah 500 unit haba ). Lebih 3,000 orang telah mencuba burger yang dijual dengan harga sekitar RM20 itu setakat ini, tetapi hanya 59 orang berjaya menghabiskannya.
Burger XXX itu juga boleh menyebabkan kerosakan pada badan manusia dan menyebabkan pemilik kedai Burger Off iaitu Nick Gambardella kini meminta pelanggan untuk menandatangani surat perjanjian khas sebelum menikmati burger ‘gila’ itu. Seramai lima orang pernah dikejarkan ke hospital selepas memakan burger itu dan salah seorang daripada mereka mengalami usus berlubang dan empat yang lain mempunyai kejutan anaphylactic. Hospital tempatan juga terpaksa mengadakan mesyuarat kakitangan selama dua jam mengenai cara untuk merawat mangsa burger cili itu.