Jawatankuasa Khas Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan pelaksanaan solat jenazah ghaib untuk penumpang dan anak kapal penerbangan MH370 tidak perlu diadakan sekarang. Perkara itu diberitahu sendiri oleh Pengerusi Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin.
Katanya jawatankuasa memutuskan bahawa kesemua anak kapal dan penumpang MH370 yang dikategorikan sebagai orang hilang(mahqud) dan dianggap sebagai orang yang telah meninggal dunia setelah usaha pencarian dibuat oleh pihak berkuasa.
Keputusan itu dibuat setelah berbincang dan meneliti pandangan ulama dan beberapa pakar dalam subjek berkenaan. Jawatankuasa fatwa juga memutuskan bahawa pengesahan kematian perludilakukan dan ditentukan di Mahkamah Syariah memandangkan ia penting untuk membolehkan pembubaran perkahwinan, pembahagian harta dan lain-lain yang membabitkan waris si mati, katanya.
Sehubungan itu, katanya, solat jenazah ghaib tidak diperlukan lagi buat masa sekarang kerana pihak kerajaan masih berusaha mencari kotak hitam, mencari mayat mangsa sekiranya ada dan pelbagai perkara yang berkaitan.
Malah beliau menambah, sekiranya pasukan penyelamat menemui cebisan mayat yang tidak dikenali langsung, cebisan berkenaan wajib dikumpulkan dan dimandikan sama seperti pengurusan jenazah Islam kerana mayat berkenaan tidak dapat dikenal pasti sepenuhnya. Anggota jawatankuasa fatwa berpendapat bahawa orang Islam yang terkorban dalam tragedi MH370 sebagai mati syahid akhirat.
BERNAMA