Kementerian Pengangkutan berkata pihak berkuasa Perancis berjaya mengesan imej satelit baru menunjukkan objek yang bermungkinan ada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 lalu. Penyelidikan menggunakan gema radar satelit milik Perancis mengesan beberapa objek yang dikatakan mempunyai kaitan dengan MH370, kira-kira 2,301 kilometer dari bandar Perth, Australia.
Walaubagaimanapun, Perancis memutuskan untuk menggunakan lebih banyak sumber dan maklumat satelit dalam usaha pencarian MH370 yang hilang sejak 2 minggu lalu setelah pencarian menggunakan kapal laut dan udara tidak membuahkan sebarang hasil.
Sebelum ini, Australia dan China juga mengeluarkan imej satelit ‘objek berpotensi’ berkaitan dengan pesawat MH370 di koridor selatan sekitar Lautan Hindi. Operasi mencari dan menyelamat kini tertumpu di kawasan 2,000 km ke barat daya Perth selepas Australia mengeluarkan kenyataan yang ia sedang menyiasat kemungkinan terdapat serpihan di sana. China juga mengatakan imej satelit yang dikesannya terletak di sekitar kawasan itu.
Menurut Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Rizal Arshad, kedalaman lautan Hindi yang mencecah 4000 meter membuatkan misi mencari menjadi semakin sukar. Beliau membuat perbandingan dimana kedalaman Lautan Hindi adalah sembilan hingga sepuluh kali ganda daripada ketinggian Menara Berkembar Petronas iaitu 420 meter. Lautan Hindi atau juga dikenali sebagai ‘Lonely Ocean’ amat jarang dikunjungi pedagang untuk belayar di kawasan tersebut.
1. Dua pesawat Ilyushin IL-76 dari China telah tiba di Perth dan akan menyertai operasi esok pada jam 0500 dan 0600.
2. Dua pesawat P3 Orions milik Jepun berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Perth pada Ahad.
3. Pusat koordinasi Australia akan mengerahkan lapan pesawat (empat pesawat tentera, empat pesawat awam) ke koridor selatan pada Ahad untuk menjalankan pencarian secara visual.
4. Kapal tentera Australia ‘Ocean Shield’, yang mempunyai kenderaan kawalan jauh bawah laut, dalam perjalanan ke koridor selatan.
5. Setakat jam 2:30 petang (waktu Malaysia) Australia berkata mereka masih belum berjaya membuat pengesanan baru yang berkaitan dengan MH370.
6. Pesawat P8 Poseidon Tentera Laut dan pesawat C130 Tentera Udara milik India berlepas dari Lapangan Terbang Subang pada Ahad untuk menyertai misi mencari dan menyelamat di kawasan utara koridor selatan, yang kini diketuai Indonesia.
Sumber: Astro Awani, Bernama