Menurut Perdana Menteri Australia Tony Abbot, dua objek bersaiz 24 meter yang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air berkemungkinan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Pesawat P-3 Orion milik Australia telah dihantar ke kawasan di mana objek itu kelihatan. Australia mengetuai pasukan pencarian di bahagian selatan Lautan Hindi. Abbot berkata pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia telah menerima maklumat tersebut berdasarkan maklumat yang diterima daripada satelit.
“Berikutan analisis pakar imej satelit ini, dua objek mungkin berkaitan dengan pencarian telah dikenal pasti.” katanya.
Laporan Astro Awani, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) hari ini mengesahkan bahawa salah satu objek terapung yang ditemui di kawasan pencariannya berukuran 24 meter.
Pegawai AMSA John Young berkata sebuah lagi objek yang ditemui adalah lebih kecil. Namun demikian Young menekankan bahawa objek-objek berkenaan mungkin tiada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac.
Young turut menjelaskan pesawat tentera udara Australia, Orion, telah dihantar ke kawasan tersebut pada pukul 1.50 petang. Tiga lagi pesawat Poseidon dijangka tiba di kawasan tersebut pada pukul 3 petang. Walaubagaimanapun, cuaca mendung dan jarak penglihatan terhad mungkin mengganggu operasi mencari objek tersebut.