Menurut laporan akhbar Berita Harian, pasukan penyiasat telah menemui perisian 5 landasan sekitar Lautan Hindi dalam program simulator Kapten Zaharie Ahmad Shah yang diambil dari rumahnya, di Shah Alam pada Sabtu lalu dan kemudiannya dipasang di ibu pejabat Polis Bukit Aman untuk disiasat.
Menurut sumber, walaupun terlalu awal untuk membuat rumusan, penyiasatan dan juga pakar telah mengambil kira penemuan itu sebagai satu daripada elemen siasatan berhubung kehilangan pesawat MH370 yang dipandu oleh Zaharie.
Antara perisian landasan yang diperiksa setakat ini ialah :
1. Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives.
2. Lapangan terbang milik Amerika Syarikat (Diego Garcia)
3. 3 landasan di India dan Sri Lanka, yang semuanya mempunyai jarak landasan 1,000 meter.
Pada 15 Mac lalu, pihak polis telah menyerbu rumah juruterbang pesawat MH370 selepas pengesahan Datuk Seri Najib Razak pesawat itu secara sengaja ditukar haluannya, kata seorang pegawai polis sebagaimana yang dilaporkan agensi berita Reuters hari ini.
Anggota polis sampai ke rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, sekitar jam 2.42 petang dan beredar 2 jam kemudian. Kapten Zaharie dikatakan menjadi pendiam sejak kebelakangan ini termasuk semasa dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sabtu lalu.