Penyanyi popular yang mencipta nama di Perancis , Dato’ Shake telah mengadakan satu sidang media di Heritage Club, The Royale Chulan Hotel semalam bertujuan untuk melancarkan video muzik terbarunya berjudul UMI. Lagu popular Dato’ Shake ini telah dijadikan satu versi baru. Video muzik terbaru Dato’ Shake itu telah ditontonkan kepada semua yang hadir.Video lagu UMI yang mendapat gubahan semula dan nafas baru ini telah diarahkan oleh anak lelaki beliau sendiri , Amaro Shake . Pembikinan video muzik ini telah berlatarkan kota Paris.
Dalam majlis yang sama, Dato’ Shake turut membuat pengumuman tentang Konsert Amal Bakti Dato’ Shake yang mendapat kerjasama daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat.Konsert tersebut akan diadakan pada 10 Mei ini bertempat di Sarawak bersempena Hari Ibu. Menurut beliau, hasil jualan tiket akan disalurkan kepada badan-badan yang memerlukan. Selain Sarawak, Dato Shake juga mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert amal seterusnya di Sabah, Johor dan Kuala Lumpur.