Isu tentang sepasang suami isteri rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden sejak pertengahan Disember lalu, kerana memukul seorang anak mereka yang enggan bersolat menjadi semakin rumit apabila peguam pasangan itu membuat kenyataan kepada media tempatan, Astro Awani , mengenai anak guamnya yang dituduh pernah mendera anak mereka sebelum ini. Kristofer Stahre , peguam untuk Shalwati Nurshal berkata, bahawa dia telah dituduh memukul anak-anaknya beberapa kali dan beliau menambah yang anak guamnya tidak akan ditahan jika ia melibatkan satu kejadian sahaja.
Stahre juga menjelaskan bahawa Shalwati akan menghadapi dua kes yang berbeza:
Kes pertama : Kes jenayah yang berkaitan dengan penderaan fizikal terhadap anak-anaknya.
Kes kedua : Masalah hak penjagaan anak-anak mereka.
Perbicaraan terhadap Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem Awaluddin , dijadualkan berlangsung pada 30 Januari ini, dan Stahre meramalkan dua keputusan mahkamah iaitu pertama pasangan itu mungkin akan ditahan reman selama 14 hari lagi manakala yang kedua adalah mungkin mereka akan dibebaskan. Tetapi itu bukan bermaksud mereka akan mendapat hak penjagaan anak-anak mereka kerana itu akan ditentukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sweden.
SUAMI ISTERI WARGA MALAYSIA DITAHAN KERANA DISIPLINKAN ANAK TIDAK BERSOLAT DI SWEDEN
Terdapat tiga faktor mengapa Shalwati ditahan di bawah reman iaitu
1. Dia mungkin lari ke luar negara jika dia bebas.
2. Berkemungkinan menyalahgunakan bukti.
3. Salah guna bukti dan terus membuat penderaan fizikal terhadap anak-anaknya.
Difahamkan, lelaki terbabit adalah seorang kakitangan di pejabat Tourism Malaysia di Stockholm manakala isterinya adalah seorang guru di negara ini namun mengambil cuti tanpa gaji bagi menemani suami bertugas di negara itu sejak tiga tahun lalu. Pasangan berkenaan turut membawa empat anak mereka berusia antara tujuh hingga 14 tahun ke negara itu. Kini, empat anak-anak mereka sejak itu telah hidup dengan keluarga angkat Sweden, tetapi akan dipindahkan di bawah jagaan sebuah keluarga Islam Malaysia yang menetap di Sweden minggu ini.