Kurang setahun lepas, negara digemparkan dengan perkahwinan seorang kanak-kanak remaja berumur 12 tahun, Nor Fazira Saad, dengan pasangannya Mohd Fahmi Alias, 20, yang mendapat pelbagai reaksi masyarakat. Semalam pula keluar berita mengenai penceraian pasangan muda ini yang mana suami Fazira telah menceraikannya dengan talak tiga. Nor Fazira telah mendirikan rumah tangga dengan pasangannya pada usia 12 tahun selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008. Majlis pernikahan pasangan itu dilangsungkan di Masjid Kampung Padang Cina dengan mas kahwin RM1,500 serta wang hantaran RM4,552 pada 17 November 2012 selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November 2012.
Di Malaysia, undang-undang umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun, tetapi 16 tahun untuk anak gadis Muslim dan mereka yang berusia di bawah 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan Mahkamah Syariah.
Pelbagai pendapat telah diberikan tetapi salah satu sebab perkahwinan muda ini adalah untuk mengelakkan dari melakukan maksiat dan selain itu juga jika berkahwin muda, dah tentulah kalau mendapat zuriat pun, cepat dan anak pun dah besar bila umur sudah meningkat. Tetapi risikonya juga tinggi kerana biasanya remaja ini tahap matangnya lambat sikit dan risiko untuk masalah timbul semasa awal perkahwinan itu tinggi. Apabila tahap matang itu rendah, segala keputusan pastinya mengikut nafsu dan perasaan. Walau apapun, sudah tiada jodoh. Lagipun Fazira baru saja berumur 13 tahun, baru nak jadi remaja. Sungguhpun begitu, perkahwinan muda ini baik tetapi untuk mereka yang benar-benar bersedia sahaja.