Baru-baru ini, Miss Universe Malaysia Organization telah mengumumkan 18 orang finalis Miss Universe Malaysia 2017 yang berjaya untuk mara ke peringkat akhir sebelum dinobatkan sebagai juara pada Februari akan datang.
Setelah beberapa minggu mengelilingi Malaysia untuk mencari gadis-gadis yang berkebolehan sekaligus memiliki personaliti yang terbaik, antara 18 orang finalis adalah termasuk Dana Low, Dewina Petrus Guriting, Erica Tan, Gina Phillips, Jaspreet Kaur, Karshini Ghanesh, Laura Simon, Maegan Yip, Michelle Soin, Nicolle Tan, Ollemadthee Kunasagaran, Peh Leon, Samantha Katie James, Savina Devi K. Thamilavanan, Sonia Naidu Devakrishnan, Tammy Marion Singho, Tanalaksiumy Mahenthiran dan Zara Tam. Kesemua mereka yang terpilih bukan sekadar memiliki aura kecantikan yang mempersona bahkan hadir dari pelbagai bidang dan latar belakang yang begitu memberangsangkan.
Elaine Daly sebagai Pengarah Kebangsaan untuk Miss Universe Malaysia Organzation berkata, dirinya sangat berbangga dapat mengendalikan pertandingan ratu yang berprestij dan tidak sabar untuk menyaksikan kesemua 18 finalis musim ini bertukar menjadi wanita yang sempurna dari segala segi.
Perjalanan 18 orang finalis akan digabungkan dalam 40 buah episod siri web yang boleh ditonton menerusi sebuah saluran gaya hidup di YouTube iaitu huur.tv bermula November ini merangkumi program orientasi mereka yang terdiri daripada pelbagai cabaran serta rintangan yang harus ditempuhi sebelum sampai ke peringkat yang paling akhir bagi menggapai gelaran sebagai Miss Universe Malaysia 2017! Bukan itu sahaja, bagi para pelanggan Astro, anda juga berpeluang menonton keseluruhan siri web tersebut secara eksklusif di DIVA, saluran 702 dan 723 untuk DIVA HD bermula Disember akan datang.
Acara gilang-gemilang penganugerahan gelaran Miss Universe Malaysia 2017 kepada juara akan berlangsung pada 23 Februari 2017. Pemenang bakal berpeluang melancong sambil mewakili negara ke pertandingan ratu kebangsaan Miss Universe pada tahun hadapan serta layak menerima hadiah wang tunai RM50,000 serta hadiah tajaan bernilai lebih RM150,000.
Untuk keterangan lanjut, sila layari www.missuniversemalaysia.com.my atau lawat laman rasmi Facebook Miss Universe Malaysia Official Facebook Page di www.facebook.com/MissUniverseMalaysia bagi mengikuti perkembangan semasa acara itu.
Galeri 18 Finalis Miss Universe Malaysia 2017